Kemalangan: Ibu dan anak perempuan maut, anak lelaki parah

17 Jan 2026, 2:05 AM
Kemalangan: Ibu dan anak perempuan maut, anak lelaki parah

SHAH ALAM, 17 JAN: Seorang ibu dan anaknya maut selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 10, arah selatan Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH), Seremban, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam, wanita berumur 40 tahun itu dikatakan menaiki sebuah motosikal bersama dua anak berusia 12 dan 14 tahun menghala ke Seremban.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, wanita berkenaan dan anak perempuan berumur 14 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anak lelaki berumur 12 tahun cedera parah.

"Kemalangan membabitkan motosikal jenis SYM dengan kereta jenis Proton Preve di KM 10 SPDH, sekitar jam 12.15 tengah malam.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu kereta berusia 46 tahun bersama isteri dalam perjalanan dari Port Dickson menghala ke Seremban," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, ketika kejadian, kereta sedang dipandu di lorong kiri manakala motosikal ditunggang mangsa berada di lorong kecemasan.

"Secara tiba-tiba motosikal itu dikatakan masuk ke lorong laluan kereta menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal dan seorang anak perempuannya meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Anak lelaki berumur 12 tahun yan mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Pemandu dan penumpang kereta hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian.

"Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.