Warga emas ditemukan meninggal dunia berhampiran motosikal elektrik

15 Jan 2026, 1:49 AM
Warga emas ditemukan meninggal dunia berhampiran motosikal elektrik

SHAH ALAM, 15 JAN: Warga emas ditemukan meninggal dunia bersama motosikal elektriknya di tepi Jalan Parit 4 Timur, Sungai Besar, Sabak Bernam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu pada jam 11.46 malam.

“Siasatan awal mendapati mangsa, lelaki tempatan berusia 67 tahun, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian.

Menurutnya, sebuah motosikal elektrik ditemukan berada di sebelah mangsa, bersama barangan peribadi seperti dompet dan telefon bimbit yang masih berada dalam beg silang.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kecederaan berunsur jenayah.

“Mangsa hanya mengalami luka di tangan kiri yang dipercayai kesan terjatuh dari motosikal elektriknya,” tambahnya.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dikenal pasti setakat ini.