Kerajaan Negeri fokus pemulihan tanah ladang babi di Kuala Langat

15 Jan 2026, 9:00 AM
Kerajaan Negeri fokus pemulihan tanah ladang babi di Kuala Langat

SHAH ALAM, 15 JAN: Kerajaan Negeri akan berbincang dengan pemilik tanah bagi memulihkan kawasan ladang ternakan babi sedia ada di Kuala Langat supaya sesuai dibangunkan untuk aktiviti pertanian lain.

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata kebanyakan kawasan ladang terlibat berada dalam zon pertanian seperti kelapa sawit.

Menurutnya, pemilik tanah mempunyai kebebasan menentukan jenis aktiviti pertanian yang sesuai dibangunkan mengikut keadaan tanah masing-masing.

“Fokus utama kita sekarang adalah memulihkan tanah sedia ada terutama kawasan yang tercemar ammonia daripada sisa kumbahan.

“Langkah ini penting supaya tanah dapat digunakan semula untuk pertanian lain dengan selamat dan produktif,” katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Menurut Izham, Kerajaan Negeri akan bekerjasama rapat dengan pemilik tanah bagi memastikan proses pemulihan dilaksanakan secara sistematik, berkesan serta mematuhi garis panduan dan piawaian alam sekitar yang ditetapkan.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan Kerajaan Negeri akan mempercepatkan pelaksanaan pemindahan ladang ternakan babi di daerah Kuala Langat dan Sepang ke Bukit Tagar, Hulu Selangor pada tahun ini, lebih awal daripada perancangan asal pada 2030.

Keputusan itu dibuat selepas perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta sesi menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 12 Januari.

Tapak baharu di Bukit Tagar yang meliputi kawasan kira-kira 500 ekar itu akan menggunakan sistem ternakan tertutup, selain dilengkapi zon penampan mencukupi serta kawalan alam sekitar bagi mengurus bau dan pelepasan kumbahan.