Selangor percepat pindah ladang ternakan babi ke Bukit Tagar tahun ini

12 Jan 2026, 9:02 AM
Selangor percepat pindah ladang ternakan babi ke Bukit Tagar tahun ini

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan Negeri akan mempercepatkan pelaksanaan pemindahan ladang ternakan babi di daerah Kuala Langat dan Sepang ke Bukit Tagar, Hulu Selangor, pada tahun ini, lebih awal daripada perancangan asal pada 2030.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta dalam sesi menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selama kira-kira 45 minit pagi tadi.

“Kerajaan Negeri menghormati serta mengambil kira pandangan dan kebimbangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, dan perkara yang dibincangkan sebenarnya selari dengan syor kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, hari ini.

Izham berkata projek pemindahan itu akan dilaksanakan melalui inisiatif sektor swasta tanpa melibatkan sebarang peruntukan kewangan daripada kerajaan negeri.

“Ini adalah inisiatif pihak swasta. Peranan Kerajaan Negeri hanyalah untuk memudah cara dan mempercepatkan kelulusan. Tiada dana kerajaan negeri akan digunakan,” katanya.

Menurut beliau, tiada lesen baharu penternakan babi akan dikeluarkan sehingga proses pemindahan selesai, dengan sebanyak 115 ladang ternakan babi kini beroperasi di Selangor melibatkan anggaran 100,000 ekor khinzir.

Katanya, tapak di Bukit Tagar meliputi kawasan seluas kira-kira 500 ekar dan akan menggunakan sistem ternakan tertutup, dilengkapi zon penampan mencukupi serta kawalan alam sekitar bagi mengurus bau dan pelepasan kumbahan.

Izham berkata, tapak-tapak ternakan sedia ada pula akan melalui proses pemulihan tanah sebelum dibangunkan semula untuk kegunaan pertanian.

Penternak akan diberikan tempoh bertenang sebelum dipindahkan, namun hanya mereka yang mematuhi syarat ketat dibenarkan beroperasi di tapak baharu.

“Kita akan memilih lokasi yang jauh daripada kawasan penempatan penduduk dengan zon penampan mencukupi. Kawasan itu luas kerana zon penampan diperlukan bukan sahaja di sekeliling kawasan, malah di antara ladang-ladang,” katanya.

Pada Khamis (8 Januari) lalu, Izham dilaporkan berkata kerajaan negeri hanya akan membenarkan aktiviti penternakan babi dijalankan di Ladang Tumbuk, Tanjung Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini bagi memudahkan pengurusan alam sekitar dan memperkukuh kawalan penyakit.

Sebelum ini, pusat penternakan babi moden di Bukit Tagar dijangka hanya dapat beroperasi pada 2030 berikutan beberapa isu tertunggak termasuk pengambilan tanah.

Pada Sabtu (10 Januari), Sultan Sharafuddin menzahirkan kekecewaan dan tidak bersetuju dengan perancangan membenarkan aktiviti penternakan babi di Tanjung Sepat sebelum pemindahan ke Bukit Tagar pada 2030, selain membangkitkan kebimbangan terhadap pembangunan ladang ternakan babi berskala besar di kawasan majoriti Melayu-Islam.

Sementara itu, Izham mengakui proses pemindahan berkenaan mungkin berdepan tentangan, namun menegaskan tindakan tegas perlu diambil bagi menyelesaikan isu berlarutan supaya tidak menjejaskan penduduk setempat.

Beliau turut menjelaskan isu penternakan babi di Kuala Langat adalah masalah lama yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu dan tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya tumpuan Kerajaan Negeri adalah menyelesaikan masalah alam sekitar seperti pencemaran bau, air serta risiko penyakit.

“Isu ini bukan soal menyekat keperluan makanan masyarakat bukan Islam, itu bukan niat kita. Namun, kelestarian alam sekitar juga perlu diambil kira supaya semua komuniti dapat hidup dalam keadaan harmoni,” katanya.