Kutipan zakat cecah RM1.28 bilion, wakaf Selangor lepasi sasaran

14 Jan 2026, 11:31 AM
Kutipan zakat cecah RM1.28 bilion, wakaf Selangor lepasi sasaran

SHAH ALAM, 14 JAN: Kutipan zakat di Selangor mencatat peningkatan apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) merekodkan RM1.28 bilion bagi tahun 2025, naik lima peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Salehuddin Saidin berkata prestasi positif itu turut didorong oleh kutipan wakaf yang diuruskan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) yang mencapai RM80 juta bagi tahun 2025, melepasi sasaran asal RM65.5 juta.

“Bagi tahun 2025, LZS berjaya merekodkan kutipan zakat sebanyak RM1.28 bilion, iaitu peningkatan lima peratus berbanding tahun 2024.

"Prestasi itu turut disokong oleh kutipan wang Baitulmal di bawah pengurusan MAIS yang merekodkan jumlah sebanyak RM26.6 juta bagi tempoh sama,” katanya dalam Majlis Perutusan Tahun 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil kutipan itu telah diagihkan sepenuhnya kepada golongan asnaf dan penerima yang layak sepanjang tahun lalu.

"Prestasi kutipan yang memberangsangkan itu diharap dapat terus dipertingkatkan pada tahun semasa bagi memastikan manfaatnya dapat disalurkan secara berterusan kepada pembangunan umat Islam," katanya.

Tegas beliau, dalam pertumbuhan ekonomi Islam, penekanan perlu diberikan kepada pembangunan wakaf produktif serta sokongan keusahawanan asnaf.

Selain itu, katanya, program latihan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkasakan bagi meningkatkan daya saing umat Islam di pasaran.