Selangor peruntuk lebih RM146 juta laksana program pendidikan

13 Jan 2026, 10:08 AM
Selangor peruntuk lebih RM146 juta laksana program pendidikan

KLANG, 13 JAN : Kerajaan Selangor memperuntuk lebih RM146 juta bagi melaksanaan program pendidikan yang berkesan untuk masyarakat dan generasi masa hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pelbagai program pembangunan sahsiah dan sosial dilaksanakan bagi membina keseimbangan antara pencapaian akademik, kemahiran berfikir, kesihatan mental dan hubungan bermasyarakat.

"Bantuan Awal Persekolahan RM150 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, bersama program-program lain yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri diharap dapat mengurangkan beban kewangan keluarga serta memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan atas faktor kemiskinan.

"Usaha ini selaras dengan matlamat reformasi pendidikan yang menekankan keadilan sosial, pengagihan kekayaan negara secara saksama dan pembinaan masyarakat yang adil," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Tahun 2026, hari ini.

Amirudin berkata pendidikan yang adil diberikan kepada semua pelajar bermula daripada prasekolah hingga ke peringkat tertinggi tanpa mengira latar belakang sekali gus memastikan tiada terpinggir daripada menerima pendidikan.

Beliau turut menyeru semua murid agar memanfaatkan sepenuhnya peluang dan kemudahan yang disediakan, sama ada oleh Kementerian Pendidikan mahupun melalui sokongan Kerajaan Negeri.

"Belanjawan Selangor 2026 mencatat sejarah apabila sektor pendidikan menerima peruntukan tertinggi berbanding sektor lain dengan peningkatan sebanyak RM55 juta berbanding tahun sebelumnya.

"Keputusan ini dibuat kerana saya percaya negeri ini perlu dibangunkan melalui satu asas yang kukuh iaitu pendidikan," katanya.