KUALA LANGAT, 12 JAN: Sebanyak 111 buah sekolah di Selangor menerima projek bagi menangani isu sekolah berkepadatan tinggi dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM78 juta sepanjang tahun lalu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagi tahun ini pula, 48 lagi sekolah telah dikenal pasti untuk menerima kemudahan sama di bawah pelaksanaan projek berkenaan
Menurutnya, projek dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu menumpukan pembinaan bilik darjah tambahan sama ada bersifat sementara atau kekal bagi mengurangkan kesesakan pelajar.
“Ini satu contoh pelaksanaan yang baik oleh pihak kementerian. Isu sekolah berkepadatan tinggi memang sentiasa wujud di negeri ini susulan pertambahan penduduk, namun kali ini ia ditangani dengan segera dan tersusun,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan kerja membaik pulih sekolah terjejas ribut di Sijangkang Jaya di sini, hari ini.
Amirudin yang memegang portfolio pendidikan negeri memberitahu, antara daerah yang menerima jumlah projek tertinggi ialah Hulu Langat dan Klang, sejajar dengan kepadatan penduduk yang tinggi.
“Isu ini juga telah lama timbul dan saya percaya KPM akan terus berusaha menangani permasalahan kelas padat di sekolah.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bersungguh-sungguh menangani perkara ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, Fadhlina memaklumkan projek pembinaan sekolah berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mula dilaksanakan pada Mei tahun lepas disifatkan sebagai pemangkin perubahan dalam usaha menangani isu sekolah dan kelas padat di seluruh negara.
Beliau menambah inisiatif yang dilaksanakan oleh KPM bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) itu kebanyakan siap sepenuhnya dalam tempoh hanya beberapa bulan.


