Tiada tempahan resort setakat ini, program ‘Glamping With Pride’ terus dipantau

11 Jan 2026, 11:07 AM
Tiada tempahan resort setakat ini, program ‘Glamping With Pride’ terus dipantau

SHAH ALAM, 11 JAN: Tiada tempahan resort dibuat bagi penganjuran program ‘Glamping With Pride’ yang dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) setakat ini.

Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan berkata beliau bersama agensi berkaitan akan bertemu pengusaha premis esok untuk mendapatkan penjelasan lanjut, susulan maklumat yang diterima.

“Setakat ini, kita diberitahu tiada tempahan berkaitan program itu di resort berkenaan. Mungkin ia scam atau sengaja digembar-gemburkan.

“Sebab itu saya akan turun padang bersama pihak berwajib untuk bertemu pengusaha, menjalankan siasatan menyeluruh dan telus,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Terdahulu, Sany memaklumkan bahawa beliau sudah membuat laporan polis serta mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Beliau menegaskan pihaknya faham kebimbangan masyarakat berhubung isu itu dan tidak memandang ringan sebarang perkara yang berpotensi menjejaskan keharmonian sosial.

Program dua hari yang dijadual berlangsung pada 17 dan 18 Januari di Hulu Langat, dikatakan dianjurkan oleh kumpulan pro-LGBT dikenali sebagai Jejaka.

Kumpulan terbabit mendakwa acara berkenaan berasaskan komuniti, menumpukan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya dan kesedaran kesihatan.

Susulan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat sebarang promosi program berkenaan.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata Jais juga memohon MPKj supaya tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran acara itu.