SHAH ALAM, 13 JAN: Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya penganjur program 'Glamping with Pride' meneruskan aktiviti yang dikaitkan dengan dengan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia maklum berhubung perkara tersebut.
“Kalau aktiviti glamping biasa bersama keluarga tiada masalah tetapi titah Sultan Selangor menjurus kepada aktiviti songsang.
“Malah, semua pihak menolak sekiranya aktiviti ini dianjurkan…tidak mungkin berlaku tetapi kalau mereka tetap mencabar pihak berkuasa akan ambil tindakan. Maklum balas lanjut belum diterima, tetapi jika ada permohonan pun akan ditolak.
“Pada masa sama, Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) bawah bidang kuasanya akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, EXCO Agama Islam Dr Muhammad Fahmi Ngah berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan dan Jais juga meletakkan pegawai bagi tujuan pemantauan.
“Setakat ini, tiada permohonan rasmi daripada pihak penganjur mungkin cubaan menguji kuasa negeri. JAIS juga telah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan tidak beri permit.
“Penduduk setempat juga diminta beri kerjasama untuk salurkan maklumat atau laporan. Jika mereka berkumpul tanpa permit boleh terus buat laporan polis dan jika ada permit sekalipun tetapi buat aktiviti tidak sepatutnya pun boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan penganjur program 'Glamping With Pride' akan meneruskan program itu di Hulu Langat Sabtu ini, walaupun mendapat bantahan.
Kumpulan dikenali sebagai Jejaka menegaskan program selama dua hari itu adalah 'retreat' berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.
Sehubungan itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Mufti Selangor mengambil tindakan tegas terhadap program "Glamping With Pride" yang dijadual diadakan di Hulu Langat hujung minggu ini.
Pengerusi MAIS Dato' Setia Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor Dato' Setia Anhar Opir dalam kenyataan bersama berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan tentangan dan bantahan keras sebarang aktiviti songsang yang dianjurkan dalam negeri ini.
"Baginda bertitah tidak membenarkan sebarang bentuk festival, perarakan, sambutan, promosi mahupun penubuhan persatuan dan pertubuhan berkaitan LGBT di mana-mana daerah di Selangor.



