Pengusaha chalet, resort Dusun Tua diarah tolak program ‘Glamping With Pride’

10 Jan 2026, 1:21 PM
Pengusaha chalet, resort Dusun Tua diarah tolak program ‘Glamping With Pride’

SHAH ALAM, 10 JAN: Pengusaha chalet dan resort di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua diminta tidak menawarkan sebarang perkhidmatan kepada penganjur program ‘Glamping with Pride’ yang dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Wakil rakyatnya, Datuk Wira Johan Abdul Aziz, berkata pengusaha yang telah bersetuju dengan penganjuran program berkenaan diminta menarik diri serta-merta dan tidak membenarkan premis mereka digunakan bagi aktiviti yang bercanggah dengan syariat agama.

“Jangan beri sebarang laluan kepada penganjuran program yang bertentangan dengan ajaran Islam, nilai moral dan norma masyarakat tempatan serta harus membatalkan serta-merta sebarang penglibatan berkaitan.

“Saya tidak akan berkompromi dalam isu yang menyentuh akidah, moral dan keharmonian masyarakat setempat.

“Dusun Tua bukan pusat kegiatan maksiat dan tidak akan menjadi tempat kepada agenda yang dimurkai oleh Allah SWT,” katanya di Facebook.

Dilaporkan, sebuah kumpulan pro-LGBT menyatakan hasrat untuk meneruskan program ‘Glamping With Pride’ di Hulu Langat pada 17 dan 18 Januari ini walaupun berdepan bantahan pelbagai pihak.

Kumpulan dikenali sebagai Jejaka itu menegaskan program dua hari berkenaan merupakan ‘retreat’ berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.

Mereka turut mendakwa penganjuran program tersebut tidak melanggar undang-undang negara.

Susulan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat sebarang bentuk promosi berkaitan program berkenaan.

EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata Jais turut memohon Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) supaya tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program tersebut.