Mufti gesa batal program ‘Glamping With Pride', SKMM diminta sekat promosi

11 Jan 2026, 7:56 AM
Mufti gesa batal program ‘Glamping With Pride', SKMM diminta sekat promosi

SHAH ALAM, 11 JAN: Penganjur program ‘Glamping With Pride' yang dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dinasihat membatal atau menghentikan aktiviti terbabit berikutan bertentangan dengan fitrah manusia, kata Mufti Wilayah Persekutuan.

Ahmad Fauwaz Fadzil berkata biarpun dikaburi dengan aktiviti rekreasi yang kelihatan normal seperti glamping namun ia jelas terlarang.

Jelasnya setiap individu terlibat juga boleh dikenakan tindakan tegas dan hukuman berat setimpal memandangkan program dilihat mempromosikan perbuatan maksiat.

"Dari perspektif Maqasid Syariah, penganjuran program sedemikian jelas bercanggah dengan prinsip pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl) dalam syariat Islam.

"Ini kerana pensyariatan pernikahan antara pasangan berlainan jantina bertujuan untuk mengembangkan zuriat manusia secara sah, di samping mencegah mafsadah (kerosakan) yang terhasil daripada perbuatan zina dan hubungan sejenis.

"Bahkan, tindakan mempromosikan budaya ini dianggap sebagai menyebarkan fahsya' (perkara keji) dalam kalangan orang beriman," katanya menerusi pautan di Facebook Tinta Mufti hari ini.

Ahmad Fauwaz berkata masyarakat sewajarnya didedahkan dengan aktiviti rekreasi yang mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengeratkan ukhwah kemasyarakatan bersih daripada sebarang unsur maksiat.

Dilaporkan, sebuah kumpulan pro-LGBT menyatakan mereka akan meneruskan program ‘Glamping With Pride’ di Hulu Langat pada 17 dan 18 Januari ini walaupun mendapat bantahan.

Kumpulan itu dikenali sebagai Jejaka, menegaskan program dua hari itu adalah ‘retreat’ berasaskan komuniti, menumpukan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya dan kesedaran kesihatan.

Mereka turut mendakwa aktiviti tersebut tidak melanggar undang-undang negara.

Berikutan itu Jabatan Agama Islam Selangor meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat sebarang promosi program berkenaan.

EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata agensi sama juga memohon Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) supaya tidak mengeluarkan sebarang permit penganjuran program berkenaan.