SHAH ALAM, 10 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, menegur kontraktor susulan kelewatan kerja pemasangan kabel berhampiran Persiaran Subang dan persimpangan USJ 7/3a yang mencetuskan kebimbangan kesesakan trafik.
Walaupun sedang sarat mengandung, wakil rakyat DAP itu tetap turun padang bagi menyuarakan keresahan penduduk yang terkesan akibat kelewatan kerja pembaikan jalan di Kawasan tersebut.
Rakaman video tular memaparkan Michelle menegur kontraktor dan mempersoalkan perancangan serta pengurusan projek selepas jalan sudah dikorek namun kerja masih tertangguh.
Malah Michelle dilihat menyindir sama ada "matematik dah ke laut" selepas kerja-kerja tertangguh walaupun jalan telah dikorek.
Beliau memberi respons kepada penjelasan kontraktor yang mendakwa kelewatan berpunca daripada kekurangan lori untuk mengangkut tanah keluar dan masuk tapak kerja.
Kontraktor juga mendakwa masalah itu berlaku kerana beberapa kabel tidak diambil kira dalam pengurusan awal projek dan hanya ditemui ketika pengorekan dijalankan.
"Tidakkah kamu membuat tinjauan yang betul untuk menentukan berapa banyak kabel di kawasan ini sebelum menutup jalan? Itulah jaminan yang diberikan kepada saya dan pihak majlis," kata Michelle.
Beliau turut menegur tindakan kontraktor yang menyalahkan Selangor Utility Corridor (Kusel) berhubung kekurangan penghadang konkrit di tapak, menegaskan perancangan meletakkan penghadang mencukupi termasuk langkah kontingensi adalah tanggungjawab kontraktor.
Michelle memberi amaran kelewatan projek berkenaan berpotensi menyebabkan kesesakan trafik yang lebih teruk apabila sekolah dibuka semula pada Isnin, 12 Januari.
Menurutnya, dalam keadaan biasa ketika musim persekolahan, pemandu mengambil masa sehingga 40 minit hanya untuk melepasi persimpangan di kawasan itu.
"Dengan jalan kini ditutup untuk kerja kabel, keadaannya boleh menjadi jauh lebih buruk," katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa isu kelewatan tidak dimaklumkan lebih awal sedangkan pengaturan alternatif boleh dibuat.
"Jangan buang masa rakyat. Saya marah kerana kamu beri komitmen kepada saya sebelum ini, tetapi sekarang ceritanya berbeza.
"Apabila projek lewat, rakyat yang menanggung kesannya. Sebab itu saya bersuara," tegasnya.
Tindakan tegas Michelle menerima pujian meluas daripada pengguna media sosial, dengan ramai memuji ketegasan serta pendekatan turun padang beliau walaupun dalam keadaan sarat mengandung.



