SHAH ALAM, 9 JAN: Sebanyak 91 peratus tapak bazar Ramadan di Shah Alam membabitkan 1,168 tapak sudah ditawarkan kepada peniaga tahun ini, kata Datuk Bandar Shah Alam.
Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan 1,283 tapak bazar Ramadan di 25 lokasi ditetapkan.
“Kita masih ada 111 lagi tapak yang kosong iaitu di Seksyen 6, Seksyen 7, Seksyen 8, Seksyen 16, Seksyen 17, Seksyen 18, Seksyen 25, Seksyen 27, Subang Perdana, Subang Bestari dan beberapa lagi lokasi lain.
“Tahun ini juga bazar tumpuan utama warga Shah Alam iaitu di perkarangan Stadium Shah Alam masih beroperasi seperti biasa, walaupun ada pembinaan stadium baharu tetapi ia tidak jejaskan,” katanya kepada pemberita.
Mohd Fauzi ditemui selepas menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MBSA bagi penggal 2026-2027 di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata pihaknya meluluskan satu permohonan daripada 13 permohonan permit bagi jualan mercun dan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, permohonan permit jualan mercun dan bunga api sempena Tahun Baharu Cina dibuka bermula 30 Disember lalu sehingga 16 Januari ini, dengan pelbagai syarat yang perlu dipatuhi peniaga.
“Untuk berniaga mercun ini perlu ada syarat yang dipatuhi dan ia tidak boleh beroperasi di lokasi tertentu seperti berhampiran sekolah dan tapak pasar malam, selain perlu dapatkan permit polis.
“Bagi permit mercun untuk hari raya, kita akan buka permohonan selama dua minggu bermula minggu pertama Ramadan,” katanya.






