Masuk Catopia Shah Alam kekal percuma, jual cenderamata tampung kos senggara

9 Jan 2026, 2:00 PM
Masuk Catopia Shah Alam kekal percuma, jual cenderamata tampung kos senggara
Masuk Catopia Shah Alam kekal percuma, jual cenderamata tampung kos senggara
Masuk Catopia Shah Alam kekal percuma, jual cenderamata tampung kos senggara
Masuk Catopia Shah Alam kekal percuma, jual cenderamata tampung kos senggara

SHAH ALAM, 9 JAN: Kemasukan ke Taman Kucing Shah Alam (Catopia Shah Alam) di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 kekal percuma bagi semua pengunjung, kata Datuk Bandar.

Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata MBSA akan membuka gerai jualan barangan cenderamata Catopia Shah Alam untuk menaikkan jenama, selain menampung kos penyenggaraan taman rekreasi berkenaan.

“MBSA belum bercadang mengenakan tiket masuk ke Catopia Shah Alam, namun kita akan buka gerai jualan bagi barangan cenderamata kepada pengunjung.

“Hasil jualan itu juga akan dijadikan sebagai kos penyenggaraan. Kita jangka gerai jualan itu akan beroperasi pada Februari ini,” katanya pada sidang media.

Mohd Fauzi ditemui selepas menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MBSA bagi penggal 2026-2027 di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Fauzi berkata MBSA sedang meneliti cadangan untuk mengenakan bayaran tiket masuk kepada pengunjung di Taman Anggerik Shah Alam.

Menurut beliau, perancangan itu dijangka dilaksanakan pada suku pertama tahun ini dengan harga yang munasabah dan tidak membebankan pengunjung.

“Di Taman Anggerik itu kita ada rumah kaca untuk menempatkan tanaman orkid dengan spesis jarang jumpa dan pelbagai kemudahan menarik. Setakat ini sambutan pengunjung juga amat menggalakkkan,” katanya.

Taman Anggerik Shah Alam yang mengambil sebahagian kawasan hijau tasik barat Taman Tasik Shah Alam dengan keluasan lima ekar merupakan mercu tanda dan tarikan terbaharu Shah Alam.

Dibina dengan kos RM4.7 juta, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian Taman Anggerik Shah Alam pada awal Disember lalu.