ad

MBSA giat naik taraf tiga venue SUKMA 2026, jangka siap April

5 Nov 2025, 12:16 PM
MBSA giat naik taraf tiga venue SUKMA 2026, jangka siap April
MBSA giat naik taraf tiga venue SUKMA 2026, jangka siap April

SHAH ALAM, 5 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah memulakan kerja naik taraf kemudahan sukan di venue yang terlibat Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, kata datuk bandarnya.

Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata kerja naik taraf itu melibatkan tiga venue iaitu di Dewan Bola Tampar Seksyen 4, Dewan Besar Tanjung Seksyen 19 dan Gelanggang Bola Tampar Pantai, Seksyen 19.

“Untuk SUKMA nanti, 11 sukan berlangsung di Shah Alam tetapi di bawah pentadbiran MBSA kita hanya naik taraf tiga venue sahaja dan selebihnya bawah tanggungjawab pemilik atau organisasi berkaitan.

“Kerja naik taraf libat surau, kemudahan OKU, tempat duduk termasuk aspek pencahayaan. MBSA berikan komitmen terbaik dalam penganjuran SUKMA dan kerja naik taraf telah bermula dijangka selesai sepenuhnya April tahun hadapan,” katanya hari ini.

Beliau ditemui pada program Dialog Integriti Kebangsaan Shah Alam (DIKSA) 2025 yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Untuk rekod, acara sukan selain bola tampar yang berlangsung di Shah Alam adalah futsal, sepak takraw, judo, karate-do, taekwando, wushu dan lawan pedang.

SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Upacara perasmian diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Edisi kali ini menyaksikan 474 acara dalam 37 sukan dipertandingkan, termasuk 30 sukan teras seperti ragbi serta tujuh sukan tambahan antaranya e-sukan, kriket dan silambam.

Sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri menjadi tuan rumah, kecuali acara berbasikal trek yang dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.