SHAH ALAM, 5 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksana sistem pusingan kerja bagi mengelak pegawai dan anggotanya terlibat dengan gejala rasuah.
Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pelaksanaan pusingan kerja itu memfokuskan jabatan yang berisiko tinggi terdedah rasuah sekali gus memastikan kakitangannya berintegriti tinggi.
“MBSA memang melaksana pusingan kerja bagi memastikan kakitangan tidak terlalu lama dan selesa dalam setiap posisi. Langkah ini dapat mencegah berlakunya amalan rasuah.
“Kita beri fokus di tempat berisiko tinggi dan menukar mereka dalam tempoh lima tahun,” katanya ditemui pada program Dialog Integriti Kebangsaan Shah Alam (DIKSA) 2025 di sini, hari ini.

Terdahulu, berucap pada majlis, Mohd Fauzi memaklumkan MBSA mentransformasi perkhidmatan digital melalui urusan pembayaran yang melibatkan penerimaan tunai.
Katanya, langkah itu adalah sebahagian daripada mengatasi salah laku rasuah selain tadbir urus beretika serta budaya kerja berakauntabiliti ke arah pembinaan masyarakat.
“MBSA berazam bukan sahaja membina bandar raya mampan dan berdaya huni tetapi komuniti bebas rasuah dan mengangkat kesopanan,” katanya.
Bertemakan ‘Membina Kita dan Kota Berintegriti’ program melibatkan kakitangan MBSA yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA itu bertujuan memperkukuh nilai integriti dalam setiap organisasi.






