SHAH ALAM, 9 JAN: Seramai 24 Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi penggal 2026–2027 termasuk lapan muka baharu, mengangkat sumpah jawatan hari ini.
Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pelantikan tersebut melibatkan 10 wakil Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), DAP (tujuh) dan AMANAH (enam), termasuk seorang Orang Besar Daerah (OBD).
“Pelantikan sebagai ahli majlis ini merupakan kepercayaan yang diberikan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pelbagai program dan penggerak kepada penduduk setempat.
“Dengan gabungan pengalaman dan pengetahuan yang ada pada ahli majlis sesi ini, diharap dapat membantu MBSA mengemudi serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Ahli Majlis MBSA bagi penggal 2026 hingga 2027 di sini, hari ini.

Terdahulu, semua ahli majlis yang dilantik melafaz sumpah jawatan di hadapan beliau sebelum menandatangani borang pengakuan menerima pelantikan masing-masing.
Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata MBSA berazam untuk terus memberi keutamaan kepada isu kepentingan rakyat, khususnya berkaitan penambahbaikan infrastruktur serta penyelesaian masalah banjir.
“Kita banyak belajar daripada 2025. Tahun ini kita mahu dekat dengan rakyat, kembali kepada matlamat asal kita iaitu menjaga isu rakyat khususnya dalam soal banjir, infrastruktur dan lain-lain.
“Ini merupakan perkara yang penting untuk kelestarian, terutamanya masalah banjir. Kita mahu pastikan banjir tidak berulang dengan menaik taraf infrastruktur supaya dapat menampung limpahan hujan yang tinggi akibat perubahan iklim,” katanya.


