SHAH ALAM, 9 JAN: Program Selangor Kitar Semula (SELKitar) kini diperluas ke 47 kawasan perumahan terpilih di daerah Hulu Selangor pada Isnin lalu, maklum Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Menerusi kenyataan, pihak berkuasa tempatan itu berkata program anjuran Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pengasingan sisa dari punca bagi memastikan bahan kitar semula tidak tercemar, sekali gus mengelakkan ia berakhir di tapak pelupusan sampah.
“Program kutipan pintu ke pintu itu menerima barangan yang boleh dikitar semula seperti plastik, kertas, kadbod, kotak minuman dan logam," katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut MPHS, pelaksanaan SELKitar bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, malah menyokong agenda kelestarian alam sekitar di peringkat komuniti.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan terlibat diseru memberi kerjasama penuh dengan menjadikan amalan kitar semula sebagai rutin harian demi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan mampan.
“Penduduk digalakkan mengasingkan sisa mengikut kategori sebelum diserahkan kepada pihak kutipan sebagai sebahagian usaha mengamalkan gaya hidup lestari,” menurut MPHS.

Program SELKitar yang diperkenalkan sejak April 2025 merupakan inisiatif jangka panjang Kerajaan Negeri untuk memacu amalan ekonomi pusingan melalui pengurusan sisa yang lebih berkesan.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan SELKitar berjaya mengumpul 77,022 kg bahan kitar semula setakat 31 Oktober lalu.
Beliau berkata jumlah itu dijangka terus meningkat selari dengan pengoptimuman operasi serta peluasan liputan perkhidmatan ke lebih 400 kawasan perumahan di seluruh Selangor.



