SELKitar mudahkan penduduk Serenia jadikan kitar semula amalan sekeluarga

23 Ogos 2026, 4:00 AM
SELKitar mudahkan penduduk Serenia jadikan kitar semula amalan sekeluarga

SEPANG, 23 OGOS: Program Selangor Kitar Semula (SELKitar) yang dilancarkan di Bandar Serenia di sini, menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat, khususnya isi rumah yang aktif mengamalkan pengasingan sisa.

Pengerusi Persatuan Penduduk Serenia Aqila, Syed Faiz Syed Mohamad, 42, berkata inisiatif tersebut memberi kemudahan kepada penduduk yang sibuk bekerja, selain mampu memberikan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.

Pengerusi persatuan penduduk bandar Serenia Aqila Syed Faiz Syed Mohamad ,42 ,ditemui media ketika peluncuran program “Selkitar Walk” di Bandar Serenia Sepang pada 22 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Sebagai penduduk, kita mahu buat inisiatif kitar semula tetapi tiada sokongan terutamanya daripada pihak berkuasa. Apabila sudah ada program ini, lebih mudah terutamanya kepada mereka yang sibuk bekerja.

“Malah kita juga boleh tunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Mereka akan belajar dari kecil dan mengamalkan apa yang dipelajari di sekolah, sekali gus berupaya menyelamatkan alam sekitar,” katanya kepada Media Selangor.

Pekerja swasta Richie Leow ,42, ditemui media ketika peluncuran program “Selkitar Walk” di Bandar Serenia Sepang pada 22 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Bagi kakitangan swasta, Richie Leow, 42, berkata inisiatif SELKitar memudahkan keluarganya meneruskan amalan kitar semula yang selama ini dilaksanakan menerusi program di sekolah anak sulungnya.

“Sebelum ini kami ada buat kitar semula, tetapi hanya melalui sekolah anak. Kami sudah mula sejak dia darjah satu. Kami kumpul dan hantar ke sekolah untuk dapatkan duit juga.

“Apabila sudah ada program ini, lebih mudah untuk kami hantar terus sisa kepada SELKitar selepas ini,” katanya.

Penduduk, Muhamad Azizi Aziz, 42, berazam mengamalkan pengasingan sisa bersama keluarganya selepas ini terutamanya menerusi pelaksanaan program SELKitar di kawasan kediamannya.

Pekerja swasta Muhamad Azizi Aziz ditemui media ketika peluncuran program “Selkitar Walk” di Bandar Serenia Sepang pada 22 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Harap program ini berpanjangan dan tidak terputus seperti program lain sebelum ini. Sebelum ini kami memang tidak buat kitar semula kerana susah mahu jumpa lokasi kitar semula.

“Tetapi selepas ini kami akan buat dan kumpulkan barangan untuk dikitar semula,” kata pekerja di sektor swasta ini.

Semalam, EXCO Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin menyempurnakan pelancaran SELKitar Walk di Bandar Serenia di sini, yang turut dihadiri Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd Tahir.

Dalam program berkenaan, Jamaliah dan Ramli turut meluangkan masa turun padang ke kediaman penduduk bagi mempromosikan inisiatif SELKitar yang akan bermula pada bulan hadapan.

Pada April tahun lalu, Kerajaan Negeri menerusi KDEBWM selaku agensi pelaksana melancarkan program SELKitar bagi memperkasa inisiatif kitar semula menerusi kutipan dari rumah ke rumah.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.