SHAH ALAM, 25 NOV: Program Kitar Semula Selangor (SELKitar) yang dilaksana sejak April lalu berjaya mengumpul 77,022 kilogram bahan kitar semula setakat 31 Oktober lalu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu dijangka meningkat seiring pengoptimuman operasi dan perluasan liputan perkhidmatan ke lebih 400 kawasan perumahan.
“Mulai 1 Oktober kita sasarkan 200,000 rumah lagi berikutan penambahan tujuh pihak berkuasa tempatan iaitu Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Kajang, Ampang, Selayang dan Hulu Selangor.

“Ini melibatkan kerjasama PBT, KDEB Waste Management (KDEBWM), Nestle Malaysia serta Klang WasteCare. Keseluruhannya sekarang ada 412,812 rumah atau premis terlibat program ini. Insya-Allah tahun depan kita akan pergiatkan kepada e-sisa melibatkan semua daerah,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program SELKitar peringkat negeri serta menyempurnakan gimik penyerahan lori operasi program berkenaan kepada PBT terlibat di bangunan pentadbiran negeri (SUK) hari ini.
Pada April lalu, Kerajaan Negeri menerusi KDEBWM memeterai kerjasama dengan Nestle Malaysia bagi memperkasa kitar semula menerusi kutipan dari rumah ke rumah dan menjadi pra-permulaan pelaksanaan inisiatif terkandung dalam Belanjawan 2025.
Program yang memulakan projek rintis di Subang Jaya dan Petaling diperluaskan pada 1 Oktober lalu melibatkan semua PBT kecuali Sabak Bernam dengan penggunaan 21 lori khusus untuk mengutip barangan kitar semula.





