SHAH ALAM, 9 JAN: Projek Pusat Inovasi, Kajian & Pembelajaran Pertanian Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melakar kejayaan cemerlang apabila meraih Elite Award dalam Malaysia Global Sustainability Awards 2025 (MGSA 2025).
Anugerah berprestij itu merupakan pencapaian sulung MBPJ bagi 2026, hasil pelaksanaan pelbagai transformasi dan inovasi ke arah membina bandar raya mampan, berdaya huni dan sejahtera.
“Tahniah kepada pasukan MBPJ yang terdiri daripada tiga warga Jabatan Landskap bersama tiga rakan strategik daripada MEA Akuaponiks atas kejayaan meraih Elite Award,” menurut kenyataan menerusi Facebook rasmi agensi itu.
Penyampaian anugerah disempurnakan Mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abd Razak bersama Presiden Persatuan Rangkaian Perniagaan Mampan Malaysia (SustNET), Ts Dr Nor Saidatul Akmar Mazelan kepada Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon.
Menurut MBPJ, projek tersebut mencatatkan skor kelestarian tinggi sebanyak 89 peratus menerusi PS Sustainability Scorecard, selain lengkap dengan pelaporan data Environmental, Social, and Governance (ESG).
Pusat Inovasi tersebut dibangunkan sebagai medium penyelidikan dan pembelajaran berkaitan pertanian bandar selaras usaha menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya hijau yang mengutamakan kelestarian dan keterangkuman sosial.
Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan MBPJ dalam mendepani cabaran bandar moden dengan solusi lestari yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.
“MBPJ terus komited memacu agenda kelestarian bandar demi masa depan yang lebih hijau, inklusif dan sejahtera,” jelas kenyataan itu.
Anugerah MGSA merupakan platform pengiktirafan kepada inisiatif kelestarian berimpak tinggi yang dianjurkan oleh SustNET dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk kerajaan tempatan dan sektor swasta.



