SHAH ALAM, 8 JAN: Seramai 23 ahli majlis Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengangkat sumpah jawatan bagi sesi 2026-2027 dalam satu majlis di Dewan Sri Siantan MPKS, semalam.
Yang Dipertua MPKS Mohamad Hanafe Basri berkata ahli majlis memainkan peranan penting sebagai penghubung antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berjalan lancar dan berkesan.
“Amanah yang diberikan kepada setiap ahli majlis perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan kebertanggungjawaban, selain memastikan perkhidmatan tempatan disampaikan secara berkesan kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata pelantikan itu mencerminkan kerjasama pelbagai parti politik dengan komposisi 10 wakil Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), tujuh Parti Amanah Negara (AMANAH) dan lima Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Menurutnya, pelantikan ahli majlis berkenaan bertujuan memperkukuh pentadbiran MPKS serta memastikan pelaksanaan dasar, keputusan dan inisiatif pembangunan mampan dapat dilaksanakan secara berkesan demi kesejahteraan masyarakat Kuala Selangor.




