SHAH ALAM, 23 DIS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) meraikan kecemerlangan atlet dengan menyampaikan insentif kepada atlet petanque Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) Selangor serta Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) 2025.
Majlis tersebut turut mengiktiraf lapan pasukan sukan yang mewakili daerah itu dalam acara seperti petanque, memanah, ping pong, sepak takraw, taekwondo, silat, olahraga dan boling padang.
Menurut kenyataan MPKS di Facebook, penganjuran program itu memperlihatkan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan itu dalam menyokong pembangunan sukan berprestasi tinggi.
“Penganjuran program ini mencerminkan komitmen MPKS dalam menyokong pembangunan sukan berprestasi tinggi, memperkukuh semangat kesukanan serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan sama turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet, pegawai dan pengurusan sukan yang berjaya mengharumkan nama MPKS di peringkat negeri dan kebangsaan.
MPKS turut menyampaikan insentif khas kepada penerima Anugerah Pengurusan Terbaik Pasukan Olahraga, Anugerah Pasukan Terbaik Boling Padang dan Olahragawan Lelaki SUKSES 2025.
Atlet olahraga, Muhamad Daniel Haqiem Azman menerima pengiktirafan tersebut selepas berjaya memecahkan dua rekod kejohanan dalam acara 200 meter dan 400 meter.
Yang Dipertua MPKS merangkap Pengerusi Majlis Sukan Daerah Kuala Selangor, Mohamad Hanafe Basri turut menyempurnakan ucapan perasmian program tersebut.





