SHAH ALAM, 24 DIS: Orang ramai dijemput memeriahkan Malam Santai Kebudayaan & Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 31 Disember ini.
Bertempat di Dataran Malawati, Kuala Selangor, MPKS berkata program yang bermula 8.00 malam itu dianjurkan sebagai wadah meraikan kepelbagaian budaya masyarakat serta memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian menjelang 2026.
"Pengunjung bakal disajikan dengan persembahan tarian tradisional pelbagai kaum, nyanyian serta detik kiraan saat menuju ke tahun baharu dalam suasana penuh kemeriahan," menurut kenyataan MPKS di Facebook.
Selain itu, pelbagai gerai jualan makanan tradisional Melayu, Cina dan India turut disediakan bagi memberi peluang kepada pengunjung menikmati keunikan gastronomi tempatan sambil beriadah bersama keluarga.
Untuk menambah kemeriahan, MPKS turut menganjurkan acara sampingan Altingsburg Night Run 2025 sejauh 5 km pada hari yang sama dengan penyertaan terbuka kepada orang awam.
MPKS menggalakkan semua warga hadir untuk meraikan kepelbagaian budaya dan semangat perpaduan masyarakat setempat. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 011-2089 0961.
Maklumat lanjut: Orang ramai boleh menghubungi di talian 011-2089 0961.


