AMPANG JAYA, 2 JAN: Pelantikan 24 ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi penggal 2026/2027 mampu menampung keperluan penduduk setempat yang kini hampir mencecah 700,000 orang di kawasan tersebut.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ Hasrolnizam Shaari berkata, semua pelantikan itu mengambil kira komposisi yang seimbang merangkumi pengalaman, profesionalisme serta kepelbagaian latar belakang pentadbiran.
Menurutnya, barisan ahli majlis dilantik tersebut daripada pemimpin di peringkat pentadbiran kerajaan semasa selain memenuhi aspek keterangkuman gender dan kaum.
“Daripada keseluruhan 24 ahli majlis, tujuh daripadanya adalah wanita sekali gus memenuhi kuota sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan dalam perwakilan.
“Dari segi komposisi kaum pula, ketiga-tiga bangsa utama turut diwakili iaitu Melayu 15, Cina (7) dan India (2),” katanya pada sidang media selepas majlis angkat sumpah itu.
Hasrolnizam menambah, keahlian penuh ahli majlis ini diyakini mampu mewakili masyarakat di bawah pentadbiran Ampang Jaya yang meliputi lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen.
“Setiap keperluan dan isu rakyat akan dibawa serta dibincangkan melalui jawatankuasa majlis yang bersidang setiap bulan sepanjang tempoh perkhidmatan semua ahli majlis berkenaan,” katanya lagi.






