SHAH ALAM, 7 JAN: Seramai 288 ahli majlis baharu bagi 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dijangka selesai mengangkat sumpah jawatan selewat-lewatnya 10 Januari ini.
Ahli majlis bagi penggal 2026 hingga 2027 itu akan berkhidmat selama dua tahun bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata Kerajaan Negeri mencatatkan kemajuan ketara dalam proses pelantikan ahli majlis kali ini hasil kerjasama tinggi semua pihak berkaitan, sekali gus membolehkan senarai penuh calon dikemukakan kepada PBT seawal Januari.
Menurut beliau, ketika ini hanya dua hingga tiga jawatan ahli majlis masih belum diisi, namun senarai calon sedang diproses dan pelantikan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Berdasarkan anggaran saya, kira-kira 97 peratus ahli majlis baharu akan terus menjalankan tugas sejurus selesai mengangkat sumpah,” katanya kepada Media Selangor.

Suee Lim berkata proses pemilihan ahli majlis setiap penggal turut melibatkan peralihan dan penstrukturan semula, selaras dengan keperluan parti politik serta piawaian dalaman yang ditetapkan.
Beliau berharap ahli majlis yang dilantik dapat melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, memainkan peranan berkesan dalam sistem kerajaan tempatan serta memberi perkhidmatan terbaik kepada parti, Kerajaan Negeri dan masyarakat setempat.
“Ahli majlis merupakan barisan hadapan yang berhubung secara langsung dengan komuniti dan perlu bekerjasama rapat dengan pemimpin masyarakat, persatuan penduduk serta warga setempat.
“Mereka bertanggungjawab menyampaikan dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri kepada rakyat, di samping mendengar serta menyalurkan maklum balas komuniti dengan penuh kesabaran,” katanya.
Percepat reformasi dan pendigitalan
Pada masa sama, Suee Lim turut menggesa semua PBT mempercepat pelaksanaan reformasi dan pendigitalan bagi mengurangkan kerenah birokrasi, sekali gus meningkatkan kecekapan serta kualiti perkhidmatan awam.
Beliau berkata tempoh dua tahun akan datang amat penting memandangkan jangkaan rakyat terhadap prestasi Kerajaan Negeri dan PBT semakin tinggi.
“Saya telah menubuhkan jawatankuasa perancangan bersepadu bagi menyeragamkan garis panduan operasi PBT, selain memuktamadkan garis panduan Pusat Sehenti Bersepadu 3.0 (OSC 3.0) yang berjaya memendekkan tempoh kelulusan kebenaran merancang daripada tiga bulan kepada hanya 14 hari,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu memastikan operasi PBT di Selangor bergerak secara lebih seragam, sekali gus membolehkan aduan rakyat ditangani dengan lebih pantas.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan terus memperkenalkan lebih banyak inisiatif mesra rakyat dan mesra perniagaan bagi merealisasikan hasrat menjadikan Selangor sebagai negeri maju berteraskan pendigitalan.
Ahli majlis angkat sumpah secara berperingkat
Di Ampang Jaya, seramai 24 ahli majlis telah mengangkat sumpah pada 2 Januari lalu, termasuk lapan muka baharu dengan perwakilan wanita merangkumi 30 peratus atau tujuh orang.
Bagi Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), 12 ahli majlis baharu telah mengangkat sumpah pada 5 Januari, manakala baki 12 lagi akan menyusul pada tarikh ditetapkan.
Seramai 22 Ahli Majlis Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) turut mengangkat sumpah pada 5 Januari lalu, terdiri daripada 14 lelaki dan lapan wanita.
Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dijangka mengangkat sumpah pada 9 Januari ini.


