300 ahli majlis PBT dilantik 1 Januari depan, fokus integriti dan keberkesanan

17 Dis 2025, 3:53 PM
300 ahli majlis PBT dilantik 1 Januari depan, fokus integriti dan keberkesanan
300 ahli majlis PBT dilantik 1 Januari depan, fokus integriti dan keberkesanan

SHAH ALAM, 17 DIS: Seramai 300 ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi penggal 2026–2027 akan dilantik bermula 1 Januari depan, merangkumi semua 12 PBT di Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata pelantikan itu akan dilaksanakan secara teratur dan berfasa dengan penekanan kepada integriti, keberkesanan pentadbiran dan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Prestasi ahli majlis yang dilantik akan menjadi antara faktor utama dalam menentukan tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan tempatan, selain membentuk imej Selangor sebagai sebuah negeri yang bersih, inklusif dan berdaya tahan.

"Kerajaan Negeri komited memastikan ahli majlis yang dilantik mampu menyokong dasar kerajaan, memahami keutamaan pentadbiran tempatan serta bersedia memikul amanah dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ahli Majlis PBT Negeri Selangor bagi penggal 2024–2025 di sini, malam ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berucap dalam Majlis Apresiasi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor bagi penggal 2024-2025 di Concorde Hotel Shah Alam pada 17 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Pada masa sama, Suee Lim turut menekankan keperluan menerapkan ketelusan dan akauntabiliti dalam semua aspek tadbir urus, selain bertindak secara proaktif dalam menangani cabaran semasa termasuk isu kebersihan, pengurusan sisa pepejal, banjir, mobiliti bandar dan pembangunan mampan.

“Usaha memperkukuh keterangkuman sosial perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan tiada komuniti yang terpinggir, khususnya golongan wanita, belia, warga emas dan kumpulan rentan, selaras dengan aspirasi Selangor sebagai negeri penyayang dan inklusif,” jelasnya.

Menurut beliau, tadbir urus PBT yang kukuh bergantung kepada peranan ahli majlis sebagai penggerak dasar dan pemudah cara antara kerajaan dan komuniti.

“Justeru, saya menyeru ahli majlis melangkah ke penggal baharu dengan semangat dan komitmen lebih tinggi, menjadikan setiap keputusan dan tindakan sebagai cerminan integriti, profesionalisme dan kebertanggungjawaban,” katanya.

Suee Lim menegaskan kejayaan Selangor sebagai negeri “Juara, Rakyat Sejahtera” tidak hanya bergantung kepada dasar yang dirangka, sebaliknya ditentukan oleh keberkesanan pelaksanaan di lapangan.

“Di sinilah peranan ahli majlis menjadi amat kritikal sebagai penggerak, pemudah cara dan penyampai dasar kepada rakyat.

"Marilah kita terus mendengar suara rakyat, bertindak dengan berani dan berprinsip serta sentiasa menambah baik pendekatan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Selangor,” katanya.