Kebersihan cerminan kecekapan PBT, ahli majlis perlu lebih proaktif - EXCO

17 Dis 2025, 3:22 PM
Kebersihan cerminan kecekapan PBT, ahli majlis perlu lebih proaktif - EXCO
Kebersihan cerminan kecekapan PBT, ahli majlis perlu lebih proaktif - EXCO
Kebersihan cerminan kecekapan PBT, ahli majlis perlu lebih proaktif - EXCO

SHAH ALAM, 17 DIS: Isu kebersihan bandar tidak boleh dipandang remeh kerana menjadi indikator utama kecekapan pihak berkuasa tempatan (PBT), tegas EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim.

Beliau berkata ahli majlis berperanan memastikan kebersihan dan pengurusan sisa pepejal berada pada tahap terbaik melalui pemantauan berterusan, sokongan penguatkuasaan dan libat urus komuniti yang lebih berkesan.

“Ahli majlis memikul amanah penting sebagai penghubung antara kerajaan negeri dan rakyat, bukan sekadar menyampaikan dasar, malah memastikan pelaksanaannya benar-benar memberi impak di peringkat akar umbi.

"Mereka bukan hanya hadir mesyuarat, sebaliknya bertanggungjawab memantau prestasi perkhidmatan awam, menyokong tindakan penguatkuasaan dan memupuk budaya menjaga kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ahli Majlis PBT Negeri Selangor Penggal 2024–2025 di sini, malam ini.

Menurut beliau, keberkesanan ahli majlis bukan sahaja memberi kesan kepada komuniti setempat, malah mencerminkan keupayaan Selangor melaksanakan dasar secara konsisten di lapangan.

“Kejayaan negeri ini tidak terhasil di bilik mesyuarat semata-mata, tetapi melalui pelaksanaan dasar dan tindakan di lapangan setiap hari.

"Prestasi ahli majlis dan PBT menjadi faktor penentu dalam memastikan momentum pembangunan negeri terus dipertingkatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Suee Lim turut memuji usaha PBT meningkatkan kecekapan perkhidmatan, termasuk menerusi pendigitalan urusan seperti pembayaran cukai dan lesen secara dalam talian yang memudahkan rakyat.

Beliau berkata pelaksanaan pengurusan sisa pepejal bersepadu juga berjaya meningkatkan kadar kitar semula negeri kepada 8.24 peratus.

“Kerajaan Negeri menghargai usaha PBT mempertingkat penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan urusan seperti pembayaran cukai dan lesen dalam talian, sekali gus memudahkan rakyat,” ujarnya.