SHAH ALAM,7 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan 11 kompaun dalam operasi penguatkuasaan Ops Terjah Kenderaan Berat di sekitar kawasan pentadbiran MPAJ, semalam.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, operasi dijalankan bagi memastikan pematuhan peraturan selain mengelakkan gangguan keselamatan serta kelancaran lalu lintas di kawasan pentadbiran.
"Hasil operasi mendapati tindakan penguatkuatkuasaan diambil di lokasi Pandan Prima, Bandar Baru Ampang dan Taman Kosas.
"Sebanyak 11 kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 48, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Tambah MPAJ, tindakan berkenaan dilaksanakan bagi memastikan kenderaan berat tidak diletakkan di lokasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam serta ketenteraman penduduk setempat.
Orang awam yang mempunyai aduan atau maklum balas berkaitan boleh menyalurkannya melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MPAJ atau menghubungi talian bebas tol 1-800-22-8100.


