Nikah Perdana bantu kurangkan beban kahwin pasangan muda

6 Jan 2026, 1:30 AM
Nikah Perdana bantu kurangkan beban kahwin pasangan muda
Nikah Perdana bantu kurangkan beban kahwin pasangan muda
Nikah Perdana bantu kurangkan beban kahwin pasangan muda

SHAH ALAM, 6 JAN: Penganjuran program Nikah Perdana dilihat sebagai inisiatif strategik bagi meringankan kos perkahwinan, sekali gus membantu pasangan mengelak tekanan kewangan yang sering mencetuskan konflik serta perceraian dalam rumah tangga.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata program berkenaan menyokong usaha memperkukuh pembentukan institusi keluarga serta mewujudkan ekosistem mesra keluarga di Selangor, khususnya dalam mendepani cabaran semasa melibatkan generasi muda.

“Dalam keadaan sebahagian generasi Gen Z semakin menangguhkan perkahwinan dan tidak merancang untuk mempunyai anak, inisiatif memudahkan perkahwinan amat penting agar faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada pembentukan keluarga.

“Usaha ini selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW yang menganjurkan perkahwinan dipermudahkan bagi membentuk keluarga yang sah dan stabil tanpa membebankan pasangan, khususnya pada peringkat awal perkahwinan,” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau menambah, tekanan kewangan pada fasa awal perkahwinan sering menjadi punca utama keretakan rumah tangga, justeru penganjuran program itu mampu membantu pasangan memulakan kehidupan berkeluarga dalam keadaan lebih stabil dan terancang.

Sementara itu, EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah menegaskan penjimatan kos melalui penganjuran Nikah Perdana perlu disertai dengan pengukuhan ilmu dalam kalangan pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga.

“Walaupun Nikah Perdana mampu menjimatkan kos perkahwinan, pasangan tetap perlu mempunyai kefahaman yang mencukupi dalam aspek fiqah perkahwinan dan pengurusan kewangan supaya segala tanggungjawab selepas bernikah dapat dilaksanakan dengan baik.

“Ilmu merupakan asas penting bagi memastikan perkahwinan tidak membebankan mana-mana pihak, sekali gus berupaya mengelakkan peningkatan kes perceraian pada masa hadapan serta melahirkan institusi keluarga yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” ujarnya.

Suasana ketika majlis akad nikah berlangsung dalam program Nikah Perdana anjuran Masjid Jamiul Ehsani, Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Kuala Langat pada 1 Januari 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Pada 2 Januari, Media Selangor melaporkan program Nikah Perdana anjuran Masjid Jamiul Ehsani, Sijangkang mendapat sambutan ramai khususnya golongan muda dalam menyempurnakan tuntutan perkahwinan secara sah dan tertib.

Tanpa persalinan mewah atau majlis besar-besaran, program itu membuktikan kebahagiaan perkahwinan boleh bermula dengan kesederhanaan, apabila pasangan diberi peluang bernikah tanpa dibelenggu beban kewangan berpanjangan.

Pendekatan walimatulurus secara beramai-ramai itu turut membantu mengurangkan tekanan kos yang sering menjadi punca penangguhan perkahwinan.