KUALA LANGAT, 2 JAN: Tanpa persalinan mewah atau majlis besar-besaran, Program Nikah Perdana anjuran Masjid Jamiul Ehsani, Sijangkang membuktikan kebahagiaan perkahwinan boleh bermula dengan kesederhanaan, apabila pasangan diberi peluang bernikah tanpa dibelenggu beban kewangan berpanjangan.
Pendekatan walimatulurus secara beramai-ramai itu terus mendapat sambutan apabila membantu pasangan, khususnya golongan muda, menyempurnakan tuntutan perkahwinan secara sah dan tertib, selain mengurangkan tekanan kos yang sering menjadi punca penangguhan perkahwinan.
Pengantin Muhammad Amirul Fikri Alias, 30, berkata keputusan menyertai Nikah Perdana dibuat atas kesedaran tujuan utama perkahwinan adalah memenuhi tuntutan agama, bukan memenuhi jangkaan atau penilaian masyarakat.

"Kami urus sendiri dan tak kisah apa orang nak cakap. Yang penting niat kami dengan Allah SWT dan perkara wajib itu dapat diselesaikan. Sejujurnya, kami sangat gembira," katanya.
Menurutnya, keseluruhan urusan pernikahan berjalan lancar hasil sokongan pihak masjid, kariah serta jurunikah yang mesra dan berpengalaman, sekali gus membantu mengurangkan rasa gugup pengantin.
"Urusan dengan pihak masjid sangat mudah. Ustaz pun ‘friendly’ dan banyak bantu kami tenangkan diri. Itu yang buat pengalaman ini sangat bermakna," ujarnya.
Isterinya, Nur Husna Iskandar, 26, turut menyifatkan suasana Nikah Perdana sebagai istimewa walaupun dilaksanakan secara sederhana dan beramai-ramai.
“Walaupun ramai, suasananya lain. Ada nilai dan kenangan tersendiri. Kami memang gembira dengan keputusan ini," luahnya gembira.
Pengantin lain, Zainhazly Abd Halim, 50, berkata penjimatan kos menjadi antara faktor beliau memilih menyertai Nikah Perdana, dengan anggaran perbelanjaan keseluruhan sekitar RM1,500 sahaja.

"Sekarang ekonomi makin mencabar. Bila kos kahwin dapat dikurangkan, kita tak terbeban dengan hutang. Pada saya, kehidupan selepas kahwin itu jauh lebih penting," jelasnya.
Beliau turut menyifatkan penganjuran Nikah Perdana sebagai pengalaman yang mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding pernikahan biasa.
"Program seperti ini ada ‘vibe’ yang sangat istimewa. Sebab ini Nikah Perdana. Kalau sebelum ini bernikah secara solo, kali ini suasananya berbeza dan lebih bermakna," katanya.
Sebagai individu yang pernah melalui alam perkahwinan sebelum ini, Zainhazly berkata pengalaman tersebut mendorong beliau memilih perkahwinan kali kedua secara sederhana bagi memastikan kehidupan selepas nikah dapat dimulakan dengan lebih tenang dan terancang.
"Kita tahu kos adalah salah satu isu besar. Nikah macam ini pun sebenarnya sudah mencukupi dan membahagiakan," ujarnya yang memilih Norizan Zainal, 50, sebagai suri hati.
Menurutnya, program seumpama itu bukan sahaja membantu menjimatkan perbelanjaan majlis, malah mengelakkan pasangan menanggung hutang atau beban kewangan selepas berkahwin.
"Bila ada program seperti ini, kita boleh jimatkan kos. Selepas majlis, kita tak perlu menanggung perbelanjaan yang terlalu tinggi dan lebihan itu boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih penting dalam kehidupan selepas kahwin," katanya.







