KUALA LANGAT, 2 JAN: Persepsi bahawa perkahwinan beramai-ramai dengan kos sederhana sebagai ‘low class’ perlu diubah kerana pendekatan ini semakin relevan bagi pasangan muda yang ingin memulakan alam rumah tangga tanpa terbeban kos yang tinggi.
Nazir Masjid Jamiul Ehsani Sijangkang Ahmad Khairul Anam Paiman berkata Program Nikah Perdana membuktikan perkahwinan boleh dilaksanakan secara sah, tertib dan bermakna tanpa memerlukan perbelanjaan besar.

“Dulu ada anggapan nikah begini ‘low class’ dan dikaitkan dengan pelbagai stigma. Kami mahu ubah persepsi itu. Nikah secara sederhana banyak kebaikan dan selari dengan tuntutan agama serta realiti kehidupan hari ini.
“Program yang kini memasuki edisi ketiga ini dilaksanakan bagi membantu pasangan, khususnya golongan muda, yang terpaksa menangguhkan perkahwinan akibat kekangan kewangan,” katanya kepada Media Selangor selepas program di masjid berkenaan semalam.
Ahmad Khairul memaklumkan program ini terbuka kepada pasangan dari dalam dan luar Selangor, tertakluk kepada prosedur dan kelulusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Selagi memenuhi syarat dan melalui proses yang ditetapkan, kami terbuka menerima pasangan dari mana-mana negeri,” katanya.

Kos penyertaan Program Nikah Perdana tidak mencecah RM2,000, meliputi akad nikah, mas kahwin, khidmat imam dan jamuan sederhana.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, dengan kos sekitar ini, kebanyakan pasangan mampu melaksanakannya. Yang penting, akad nikah itu sah dan diberkati,” tambah beliau.
Setiap penganjuran melibatkan lima hingga enam pasangan, dan lebih 15 pasangan telah disatukan sejak program diperkenalkan.
Program biasanya dianjurkan setiap enam bulan bagi memudahkan pasangan merancang perkahwinan tanpa menunggu lama.
Ahmad Khairul menegaskan program ini bukan bertujuan menggantikan majlis berskala besar, sebaliknya menjadi alternatif praktikal untuk pasangan yang ingin mengekalkan kestabilan kewangan selepas berkahwin.
“Tekanan kewangan akibat kos perkahwinan yang tinggi sering menjadi punca masalah rumah tangga. Perkahwinan sepatutnya membawa ketenangan dan kebahagiaan,” katanya.

Beliau berharap Program Nikah Perdana dapat terus mengubah stigma masyarakat terhadap perkahwinan berkos sederhana dan memperkukuh peranan masjid sebagai pusat penyatuan ummah.
“Hasrat Kerajaan Negeri dan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj adalah menjadikan masjid sebagai pusat penyatuan masyarakat. Program seperti ini adalah antara usaha ke arah itu,” katanya.





