SHAH ALAM, 5 JAN: Selepas terbengkalai lebih 20 tahun, pembinaan Apartmen Kristal di Taman Selayang Mutiara akhirnya disambung semula pada Disember lalu.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata usaha membantu lebih 400 pembeli itu dimulakan sejak awal 2024, dengan turut melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Taman Templer menjelaskan, projek perumahan Apartmen Kristal terbengkalai berikutan pemaju terlibat gulung tikar.
“Saya wujudkan task force apabila pemilik rumah mengadu kepada saya pada awal 2024, mengadu mengenai hal ini. Lantikan kontraktor telah dibuat, kontraktor bertukar tangan tetapi tetap tidak boleh jalankan projek berkenaan.
“Ada sebahagian daripada pemilik rumah yang sudah meninggal dunia. Kita bersimpati kerana mereka sudah membayar ansuran bank tetapi tidak sempat tinggal di rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Anfaal menambah, KPKT menyuntik dana sebanyak RM45 juta kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan kepada pihak pemaju.
Menurutnya, projek perumahan Apartment Kristal yang memiliki 500 unit membabitkan lapan blok bangunan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan akan datang.
“Kes ini antara yang terlalu lama, jadi saya letakkan iltizam untuk bantu selesaikan. Saya harap dengan bantuan ini dapat beri kegembiraan kepada pemilik yang selama ini terpaksa menyewa di tempat lain,” katanya.
Projek Apartment Kristal diisytiharkan sebagai projek perumahan swasta terbengkalai oleh KPKT pada 18 Februari 2013.



