Bantuan I-SEED disalur dua fasa, pastikan agihan lebih teratur dan cepat

5 Jan 2026, 10:57 AM

GOMBAK, 5 DIS: Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) bakal disalurkan secara dua fasa tahun ini, berbanding hanya satu fasa pada tahun sebelumnya.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu berkata inisiatif itu bertujuan memastikan proses agihan lebih teratur dan mempercepatkan penghantaran bantuan kepada usahawan yang memerlukan.

“Tahun lepas, bantuan i-SEED hanya disalurkan dalam satu fasa, menyebabkan tempoh penghantaran mengambil masa lebih lama,” katanya dalam sidang media di Menara Majlis Perbandaran Selayang, di sini hari ini.

Menurutnya, pendaftaran i-SEED tahun ini dibuka kepada penerima sedia ada serta bakal penerima yang memerlukan barangan dan peralatan berkaitan.

“Fasa pertama dijangka sebelum Jun, manakala fasa kedua pula menjelang November. Pendekatan ini akan memastikan bantuan sampai kepada usahawan secara lebih tersusun dan berkesan,” jelas beliau.

Kerajaan Negeri melalui Belanjawan Selangor 2026 memperuntuk RM1 juta bagi meneruskan kesinambungan program i-SEED sepanjang tahun ini.

Dilancarkan pada 7 April 2021, program ini bertujuan meningkatkan taraf ekonomi komuniti India melalui pemberian peralatan perniagaan yang bersesuaian dengan jenis usaha mereka.

Bagi melayakkan diri menerima bantuan i-SEED, pemohon mestilah:

  • rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun

  • pendapatan individu atau isi rumah bawah RM3,000 sebulan

  • perniagaan mesti beroperasi di Selangor