Lelaki maut dalam insiden tembakan berhampiran restoran di Banting

5 Jan 2026, 8:29 AM
Lelaki maut dalam insiden tembakan berhampiran restoran di Banting

SHAH ALAM, 5 JAN: Seorang lelaki maut dalam insiden tembakan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Banting, Kuala Langat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10.05 malam tadi.

“Hasil siasatan awal mendapati berlaku kejadian tembakan di sebuah restoran di kawasan Banting yang mengakibatkan kematian seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sejak malam tadi tular beberapa gambar dan rakaman video di media sosial memaparkan seorang lelaki dalam keadaan cedera dan tidak sedarkan diri, terbaring berhampiran dinding luar premis makanan segera berkenaan.

Rakaman tersebut turut mencetuskan kebimbangan orang ramai yang berada di sekitar lokasi kejadian sebelum kehadiran pihak berkuasa.

Polis kini giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek serta punca kejadian.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222.