Sekinchan destinasi percutian santai pilihan keluarga sempena cuti sekolah

5 Jan 2026, 12:00 PM
Sekinchan destinasi percutian santai pilihan keluarga sempena cuti sekolah
Sekinchan destinasi percutian santai pilihan keluarga sempena cuti sekolah
Sekinchan destinasi percutian santai pilihan keluarga sempena cuti sekolah

SABAK BERNAM, 5 JAN: Sekinchan terus mencuri tumpuan sebagai antara destinasi pelancongan paling popular di Selangor, khususnya ketika musim cuti sekolah.

Keindahan hamparan sawah padi, tarikan pelancongan unik serta pelbagai pilihan makanan tempatan menjadikan pekan kecil di Sabak Bernam ini sentiasa meriah dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Bagi Suriyani Said, 42, anak jati Kuala Selangor, Sekinchan menawarkan pakej percutian yang lengkap dan mudah diakses sekali gus menjadikannya lokasi strategik untuk percutian keluarga.

Suriyani Said, 42. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Sekinchan tidak jauh dari Kuala Lumpur dan mudah dikunjungi. Saya bangga melihat kawasan ini semakin dikenali dan menjadi tumpuan pelancong,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Suriyani, selain menikmati panorama sawah padi yang menenangkan, pengunjung turut boleh merancang perjalanan ke beberapa destinasi berhampiran seperti Bukit Melawati dan Pantai Remis, Kuala Selangor.

Antara tarikan ikonik yang semakin popular ialah Terminal Sekinchan yang menempatkan sebuah pesawat di tengah sawah padi dan menjadi latar bergambar kegemaran pengunjung.

Keunikan Sekinchan turut menarik pelancong dari luar Selangor. Ahmad Taufik, 58, sanggup menunggang motosikal dari Nilai, Negeri Sembilan bersama isterinya semata-mata untuk menyambut tahun baharu sambil menikmati suasana desa yang damai.

Ahmad Taufik, 58. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Banyak tempat menarik di sini seperti Galeri Padi, Terminal Sekinchan dan Ah Ma House. Dari segi makanan pula, saya ingin cuba Colek Sawah, Kopi Sawah, Coconut Farm dan Laman Tebu seperti yang disarankan ramai,” katanya.

Beliau turut merancang untuk berlibur ke Kuala Selangor bersama keluarga bagi mengunjungi lokasi bersejarah seperti Bukit Melawati pada masa akan datang.

Kehadiran pelancong memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan. Noridah Zaini, 54, yang menjual buah-buahan dan makanan di sekitar kawasan sawah, berkata peningkatan pengunjung membantu menambah pendapatan hariannya.

Peniaga, Noridah Zaini, 58. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Pendapatan boleh mencecah RM500 sehari dan meningkat sehingga RM1,000 ketika cuti sekolah atau cuti umum,” katanya.

Menurutnya, Sekinchan menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pengunjung daripada kawasan sawah padi, ladang tebu, pantai, pelbagai gerai makanan hinggalah penginapan yang selesa.

Sementara itu, peniaga separuh masa di Terminal Kapal Terbang Sekinchan, Mohd Shahrizal Shukor, 54, turut bersyukur apabila kehadiran orang ramai membantu menambah pendapatan sampingan.

Peniaga, Mohd Sharizal Shukor, 37. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Pelbagai makanan tempatan boleh dicuba seperti mentarang, ikan bakar, soto, laksa, pecal dan kafe-kafe sekitar sawah padi dari Sekinchan hingga Sungai Besar,” katanya sambil memaklumkan jualannya meningkat ketika musim cuti sekolah.

Tinjauan di sekitar Terminal Kapal Terbang Sekinchan mendapati pengunjung mula hadir seawal 11 pagi, dengan peniaga tidak melepaskan peluang membuka pelbagai gerai makanan bagi memenuhi selera pelancong.

Orang ramai membeli jualan di gerai berhadapan Kapal Terbang Sekinchan, Selangor pada 1 Januari 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Dengan suasana desa yang mendamaikan, tarikan pelancongan unik serta keramahan komuniti setempat, Sekinchan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi percutian santai yang wajar dikunjungi.

Sama ada untuk bergambar, menikmati makanan tempatan atau sekadar melepaskan penat, Sekinchan menawarkan pengalaman yang sukar dilupakan.

Kopi Sawah yang terletak di Sekinchan semakin dikenali ramai berikutan lokasinya yang terletak di tengah-tengah bendang. Foto Facebook Racunlah Cuti-Cuti Malaysia