SHAH ALAM, 4 DIS: Seramai 100 murid daripada keluarga B40 di Petaling Jaya menerima baucar pembelian kelengkapan persekolahan sumbangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Timbalan Pengarah Pembangunan Masyarakat MBPJ Ku Mustafa Ku Mohamad berkata baucar bernilai RM300 bertujuan meringankan beban ibu bapa sekali gus mencerminkan keprihatinan MBPJ terhadap cabaran kos sara hidup.

"Sumbangan tahunan ini membantu keluarga B40 di sekitar Petaling Jaya untuk menyediakan kelengkapan anak-anak mereka.
“Setiap keluarga menerima baucar tunai RM300 untuk membeli keperluan sekolah anak-anak," katanya.
Ditemui selepas program Sumbangan Baucar Membeli-Belah Jom Kembali Ke Sekolah 2026 di Mydin Subang Jaya, hari ini, Ku Mustafa berkata penerima baucar dipilih berdasarkan data e-Kasih, iaitu keluarga yang mendaftar di platform tersebut.
Beliau menambah, MBPJ akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan B40 pada masa hadapan, terutamanya sempena bulan Ramadan dan Hari Raya.

Selain itu, MBPJ turut memperkukuh sokongan mobiliti pelajar melalui perkhidmatan bas percuma PJ City Bus yang beroperasi sepanjang laluan PJ01 hingga PJ06, memberi manfaat kepada pelajar sekolah di Petaling Jaya dan membantu mengurangkan kos pengangkutan harian keluarga.
Langkah ini selari dengan aspirasi MBPJ menjadikan Petaling Jaya bandar raya inklusif, prihatin dan berdaya tahan.




