AMPANG JAYA, 4 JAN: Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang baharu dilantik bagi penggal 2026/2027 bertekad menambah baik infrastruktur lama dan menangani isu banjir di kawasan pentadbirannya.
Ketua whip DAP mewakili ahli majlis Lee Wen Bin berkata antara keutamaan beliau ialah naik taraf di kawasan perumahan berusia lebih 30 tahun, selaras dengan pertambahan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai.
Beliau juga mahu menangani isu sistem perparitan dan sungai yang tidak lagi mampu menampung jumlah air besar ketika hujan lebat.

“Kawasan Teratai khususnya Taman Muda, Taman Seraya dan Taman Putra dikenal pasti sebagai kawasan yang masih belum menerima naik taraf infrastruktur secara menyeluruh.
“Banyak jalan dan longkang dibina lebih tiga dekad lalu dan tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa. Saya akan membawa perkara ini ke mesyuarat majlis supaya naik taraf dapat dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir kilat,” katanya.
Beliau yang mewakili zon 22 merupakan salah seorang ahli majlis yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Timbalan Yang Dipertua MPAJ Hasrolnizam Shaari di Menara MPAJ di sini kelmarin.
Lee turut memaklumkan, enam ahli majlis mewakili DAP dilantik bagi penggal ini, melibatkan dua wakil pemuda dan tiga wanita, sekali gus memenuhi kuota 30 peratus penyertaan wanita daripada keseluruhan 24 Ahli Majlis MPAJ.
Sementara itu, ahli majlis Zon 8 Dato’ Yap Wee Seng berkata fokus utama beliau adalah memperkukuh hubungan dengan penduduk bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan, khususnya melibatkan infrastruktur asas.

“Perhatian akan diberikan kepada kemudahan awam seperti longkang, jalan raya dan lampu jalan di kawasan Kampung Baru Ampang dan Kampung Melayu.
“Isu infrastruktur ini telah lama berlarutan dan perlu ditangani secara menyeluruh bagi menjadikan Ampang Jaya kawasan yang harmoni dan berdaya saing,” jelasnya.
Beliau yang juga ketua whip Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), memaklumkan seramai 11 ahli majlis daripada parti itu dilantik bagi penggal ini.
“Enam ahli majlis baharu dan lima penyandang lama dilantik dengan sebahagian mereka memiliki latar belakang kejuruteraan dan pentadbiran,” jelasnya.
Ahli majlis merangkap Ketua Whip AMANAH, Nur Sakinah Mohd Yusoff berkata, tumpuan beliau adalah penyelarasan pembangunan infrastruktur di Zon 15 berikutan pembinaan dua stesen perkhidmatan tren transit aliran massa (MRT) baharu di Kampung Pandan dan Taman Bakti.

“Pelan pembangunan sedia ada perlu disemak semula agar selari dengan pembangunan pengangkutan awam tersebut.
“Kampung Pandan merupakan kawasan lama dan pelan pembangunan Ampang Jaya 2030 sedia ada tidak sepenuhnya mengambil kira kesiapsiagaan MRT. Justeru, kita perlu menilai semula perancangan supaya pembangunan kawasan seiring dengan keperluan semasa,” katanya.
Beliau yang mewakili zon 15 memaklumkan, kuota pelantikan ahli majlis AMANAH, kekal seramai tujuh orang bagi penggal ini, melibatkan tiga wakil dari Lembah Jaya, Hulu Kelang (2) dan Pandan Indah (2).



