PKPS lantik COO baharu terajui Selagro, perkukuh industri agromakanan

3 Jan 2026, 10:13 AM
PKPS lantik COO baharu terajui Selagro, perkukuh industri agromakanan

SHAH ALAM, 3 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melantik Ketua Pegawai Operasi (COO) baharu bagi anak syarikatnya Selagro Solutions Sdn Bhd (SSSB).

PKPS menerusi kenyataan memaklumkan jawatan berkenaan disandang oleh Pongot Sajab berkuat kuasa hari ini.

Menerusi kenyataan sama, pelantikan beliau merupakan langkah strategik syarikat dalam memperkukuh barisan kepimpinan bagi memacu kecemerlangan operasi dan pertumbuhan mampan.

“Dengan pengalaman luas dan rekod prestasi cemerlang dalam bidang pengurusan, beliau akan menggalas tanggungjawab untuk menyelia aliran kerja operasi, meningkatkan kecekapan organisasi dan memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan serta rakan strategik.

“Pihak pengurusan PKPS yakin kepimpinan dan visi beliau akan membawa dimensi baharu dalam usaha syarikat untuk terus berdaya saing dalam industri,” katanya.

SSSB merupakan anak syarikat milik penuh PKPS dan aktif dalam sektor pertanian, khususnya dalam menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan yang menyokong pertumbuhan dan pembangunan industri agromakanan di Malaysia.