SHAH ALAM, 3 JAN - Penyediaan lengkap Pelan Induk Air dan Pelan Induk Pembangunan Jaringan Jalan dan Lebuhraya Selangor menjadi tumpuan EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim pada tahun ini.
Beliau memberitahu kajian berkaitan jalan raya yang pertama kali seumpamanya di Malaysia bertujuan menilai keupayaan rangkaian sedia ada dan ia dijangka siap pada akhir Januari.
“Sama ada jalan raya dan lebuh raya yang ada mencukupi dari segi kapasiti atau perlu dinaik taraf. Juga kenal pasti ‘missing link’ iaitu jalan yang perlu disambung bagi tingkatkan tahap keterhubungan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau menjelaskan kajian itu turut meneliti aspek aliran trafik sehingga 2035 bagi memastikan pembangunan prasarana selari pertumbuhan ekonomi dan keperluan rakyat.

Berkaitan kajian Pelan Induk Air, Ir Izham berkata perancangan sehingga 2040 itu mencakupi pengurusan sumber, air terawat, kumbahan dan kelestarian ekosistem lengkap lagi menyeluruh.
Menjelaskan kajian itu juga pertama kali dijalankan di negara ini, beliau memberitahu ia bukan hanya meneliti sumber mencukupi atau tidak tetapi melibatkan keseluruhan ekosistem air.
“Merangkumi air minuman, pertanian, air terawat, kumbahan dan pengurusan ketika kemarau dan banjir,” katanya dan menyatakan kajian sejak lebih enam bulan dijangka siap pertengahan tahun ini.
Menurut Ir Izham, kajian juga meliputi aspek air bawah tanah, penggunaan air laut termasuk potensi membina loji penyahgaraman (desalination plant) dan kaedah pengurusan menyeluruh.
“Kita mahu melihat bagaimana keseluruhan sistem air ini boleh diurus dengan lebih berkesan demi kelestarian jangka panjang,” katanya lagi.
Beliau menegaskan penyediaan kedua-dua pelan itu menambahkan manfaat kepada rakyat secara keseluruhan, khususnya aspek kelestarian, kebajikan dan perancangan jangka panjang.



