Kajian Pelan Induk Air Selangor dijangka siap pertengahan 2026 - EXCO

13 Dis 2025, 12:00 PM
Kajian Pelan Induk Air Selangor dijangka siap pertengahan 2026 - EXCO
Kajian Pelan Induk Air Selangor dijangka siap pertengahan 2026 - EXCO

KUALA SELANGOR, 13 DIS: Kajian Pelan Induk Air Selangor, termasuk penilaian keberkesanan projek tebatan banjir dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan, kata EXCO Infrastruktur.

Dato’ Ir Izham Hashim berkata kajian itu diselaraskan bersama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk pembangunan serta pengurusan sumber air.

“Semua cadangan kita selaras dan ambil kira secara holistik, bukan hanya banjir tetapi isu air mentah, terawat, pencemaran dan juga kemarau. Kita perlu bersedia semua situasi dan ia dimasukkan dalam pelan induk.

“Namun, setakat ini, mana-mana projek langkah segera tangani banjir beri maklum balas positif antaranya di Taman Mutiara, Klang. Sebab itu, untuk projek jangka masa panjang kita teruskan, manakala langkah segera kita pastikan ia selesaikan isu banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan nelayan berjumlah RM670,000 menerusi Program Pembangunan Agropreneur Selangor Bantuan Nelayan di Jeti Hai Gang Fishery, Tanjong Karang, hari ini.

Pada Ogos lalu, Izham memaklumkan Kerajaan Negeri sedang menyediakan Pelan Induk Air Selangor bagi mengurus lebih 1,000 sungai di seluruh negeri secara holistik dan mampan.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan memastikan pengurusan sumber air Selangor lebih tersusun dan berkesan, memandangkan negeri ini berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan permintaan air, risiko banjir serta keperluan memelihara kualiti sumber air mentah.

Dalam pada itu, Izham berkata pihaknya turut memberi tumpuan kepada naik taraf ban di kawasan pesisir pantai seluruh Selangor bagi mengelak limpahan air ketika fenomena air pasang besar.

“Bagi semua ban yang rebak, kita akan guna teknologi Sistem Tetulang Pratuang (SPS) dari Indonesia dan Fiber Stone Mesh (SFM) dari Korea. Kita akan buat perolehan bermula Januari.

“Teknologi ini akan bantu daripada segi hakisan. Semua baik pulih akan mula berjalan tahun hadapan selama beberapa bulan. Insya-Allah, kita akan lebih bersedia dan pembinaan lebih kemas,” katanya.