HULU LANGAT, 11 Okt: Kerajaan Negeri Selangor sedang menyediakan Pelan Induk Air Selangor bagi mengurus lebih 1,000 sungai di seluruh negeri secara holistik dan mampan, kata EXCO Infrastruktur dan Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan sumber air di negeri ini lebih tersusun dan berkesan, memandangkan Selangor berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan permintaan air, risiko banjir serta keperluan memelihara kualiti sumber air mentah.
“Penyediaan pelan induk air, sebab kita nak uruskan sungai, ada lebih 1,039 sungai di Selangor, berjumlah 2,600 kilometer (ia) bukan perkara yang mudah. Sistem saliran kita sangat penting, tidak semestinya berkaitan navigasi, lebih pada sumber air minum dan pertanian, selain rekreasi, agro pelancongan. Sebab itu pemuliharaan sungai sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri Selangor di Taman Tasik Cempaka, Hulu Langat, hari ini.

Izham berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Air Selangor dan Landasan Lumayan (operator pembersihan dan pendalaman Sungai Klang) menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan sungai berada dalam keadaan bersih, stabil dan bebas pencemaran.
“Kita sentiasa membuat pemantauan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran dan Air Selangor dan Sungai Klang Landasan Lumayan untuk lihat apa lagi kaedah yang kita boleh perkenalkan untuk menjaga, memulihara kualiti air. Kuantiti kita perlukan, kualiti kita perlukan sebab kita dah mula banyak loji rawatan ada di sepanjang sungai,” katanya.
Beliau menambah, antara sungai yang menjadi tumpuan ialah Sungai Klang yang kini menempatkan Loji Rawatan Air Sungai Rasau yang dijangka siap tahun depan, selain loji di Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih.
Menurut Izham lagi, pelaksanaan Selangor Jurang Air Management (SJAM) yang dijalankan kerajaan negeri kini menunjukkan kesan positif, apabila insiden pencemaran sungai semakin jarang dilaporkan.
“SJAM dah berjalan, sebab itu kita jarang dengar isu pencemaran, terhenti tugas kerana pencemaran,” katanya.
Namun, beliau mengakui bahawa isu banjir masih menjadi keutamaan dan sedang diteliti secara menyeluruh dalam pelan induk berkenaan bagi mencari kaedah terbaik mengurus air semasa musim hujan dan kemarau.
“Cuma kita masih ada isu banjir, kaedah yang kita akan teliti melalui pelan induk air, bagaimana kita nak urus air bila banjir, bagaimana kita nak urus sumber air bila kemarau untuk kita gunakan nanti,” katanya.


