SHAH ALAM, 1 JAN: Sebanyak 1,206 saman trafik dikeluarkan manakala 93 kenderaan disita dalam Operasi Ambang Tahun Baharu 2026 yang dijalankan polis Selangor sejak semalam hingga awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata operasi bersepadu itu dilaksana bagi mengekang ketidakpatuhan undang-undang serta memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang sambutan tahun baharu.
Menurutnya, daerah Ampang Jaya mencatat jumlah saman tertinggi dengan 199 saman, diikuti Shah Alam (161 saman) dan Petaling Jaya (156 saman).
“Turut terlibat dalam operasi ini ialah daerah Klang Utara (124 saman), Klang Selatan (80), Sungai Buloh (74) dan beberapa daerah lain di bawah pentadbiran polis Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain saman, polis turut menyita 93 kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan menahan tujuh individu mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tangkapan melibatkan dua kes di bawah Seksyen 45A(1), dua kes Seksyen 42(1) dan tiga kes Seksyen 108(3) akta sama.
Shazeli memaklumkan seramai 413 anggota keseluruhan terlibat, termasuk 350 pegawai serta anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor.
Turut membantu operasi ialah 41 anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan tugas am serta 19 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tiga anggota RELA.
“Kolaborasi pelbagai agensi ini penting bagi memastikan laluan kritikal di bawah Polis Selangor kekal terkawal dan selamat,” ujarnya.
Beliau menegaskan Polis Selangor tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan jalan raya demi keselamatan orang awam.
“Orang ramai digesa membudayakan disiplin pemanduan berhemah bagi menjamin keselamatan bersama,” katanya.


