SHAH ALAM, 31 DIS: Polis Selangor mengutip sebanyak RM19.5 juta hasil penyelesaian 258,345 saman trafik sepanjang dua bulan pelaksanaan Program Pengurangan Saman PDRM 70 peratus bermula 1 November lalu hingga semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata jumlah itu melibatkan 125,759 saman POL 257 dengan kutipan RM11.49 juta serta 132,586 saman POL 170A berjumlah RM8.01 juta.
Beliau berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mencatatkan kutipan tertinggi sebanyak RM2.7 juta, diikuti IPD Petaling Jaya (RM2.1 juta) dan IPD Kajang (RM1.7 juta).
Menurutnya, bayaran tunai masih menjadi pilihan utama dengan kutipan RM10.05 juta, manakala e-pembayaran mencatatkan kutipan RM9.45 juta sepanjang tempoh program.
Katanya, peningkatan penggunaan bayaran digital menunjukkan orang ramai semakin selesa menggunakan kaedah yang lebih cepat dan mudah.
Program berkenaan, katanya, membantu orang ramai menyelesaikan tunggakan saman serta meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya di Selangor.


