Maritim Malaysia Selangor tahan kapal minyak bersauh tanpa kebenaran di Pelabuhan Klang

31 Dis 2025, 4:29 AM
Maritim Malaysia Selangor tahan kapal minyak bersauh tanpa kebenaran di Pelabuhan Klang
Maritim Malaysia Selangor tahan kapal minyak bersauh tanpa kebenaran di Pelabuhan Klang

PELABUHAN KLANG, 31 DIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal minyak yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan negeri ini, semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan dibuat susulan aduan daripada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), sebelum sebuah bot ronda diatur gerak ke lokasi kapal berkenaan.

Menurut beliau, kapal tangki itu ditahan kira-kira jam 3 petang pada kedudukan 0.9 batu nautika di barat Pelabuhan Klang.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan seorang nakhoda bersama empat kru, kesemuanya warga Indonesia berusia antara 21 hingga 59 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Muhaimin berkata kesemua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, namun nakhoda gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya.

Beliau berkata perintah penahanan telah dikeluarkan terhadap kapal berkenaan, manakala nakhoda dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Abdul Muhaimin menegaskan Maritim Malaysia memandang serius pematuhan undang-undang perkapalan dan akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan perairan negara, khususnya di Selangor, sentiasa terpelihara.

Beliau turut menasihatkan pengusaha perkapalan dan pemilik kapal supaya mendapatkan kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia serta mematuhi peraturan sebelum menjalankan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.

Orang ramai, khususnya komuniti maritim, diminta menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 03-8995 7820.