SHAH ALAM, 30 DIS: Seramai lapan usahawan kecil di Hulu Selangor menerima bantuan peralatan perniagaan menerusi program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Ketua Penyelaras Unit i-SEED, Mathavan Muniandy berkata bantuan tersebut disampaikan sempena Program Penyerahan Peralatan i-SEED 2025 yang diadakan pada 26 Disember lalu.
Menurut beliau, lapan penerima terbabit terdiri daripada tiga peniaga makanan dan masing-masing seorang tukang jahit, tukang gunting rambut, pengusaha katering, peniaga kelapa parut serta pemilik kedai runcit.
“Pihak Unit i-SEED turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amiruddin Shari atas sokongan berterusan terhadap inisiatif i-SEED demi kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Amiruddin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi meneruskan kesinambungan program i-SEED pada tahun hadapan.
Program i-SEED yang dilancarkan pada 7 April 2021 bertujuan meningkatkan taraf ekonomi komuniti India di Selangor melalui pemberian bantuan peralatan perniagaan bersesuaian dengan jenis usaha yang dijalankan.
Bagi melayakkan diri menerima bantuan i-SEED, pemohon mestilah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan serta mengendalikan perniagaan di negeri ini.


