SHAH ALAM, 30 DIS: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) dan pengerusi badan perhubungan PN Selangor.
"Saya mengambil perhatian pelantikan saya sebagai Setiausaha Agung PN adalah atas bidang kuasa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Maka, saya juga meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN bermula 1 Januari 2026.
"Saya juga mengambil pendirian meletakkan jawatan selaku Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa tarikh sama," katanya di Facebook, hari ini.
Mohamed Azmin turut merakamkan terima kepada semua pihak yang memberikan kerjasama kepadanya.
"Kerjasama semua pihak amat dihargai dan diucapkan terima kasih," katanya.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi gabungan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.
Tidak lama selepas itu, ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker pula mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan.


