SHAH ALAM, 30 Dis: Krisis dalaman Perikatan Nasional (PN) semakin memuncak apabila beberapa pemimpin utamanya berundur, manakala hubungan antara parti komponen pula kian tegang, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap masa depan gabungan itu.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Mohd Azizuddin Mohd Sany berkata perkembangan itu berpotensi menjadi petanda awal kejatuhan gabungan berkenaan.
“Saya melihat ini sebagai kemungkinan bibit-bibit awal kejatuhan PN,” katanya kepada Media Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas peletakan jawatan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari depan tanpa menyatakan sebab khusus.
Peletakan jawatan itu berlaku ketika wujud ketidakpuasan hati yang semakin ketara dalam gabungan itu, dengan krisis politik di Perlis menjadi antara pencetus utama sehingga membawa kepada pertukaran menteri besar.
Krisis tersebut turut disusuli peletakan jawatan beberapa pemimpin kanan Bersatu lain, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berundur sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Selangor, serta Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak.
Menurut Mohd Azizuddin, ketiadaan petunjuk jelas mengenai siapa yang bakal mengambil alih jawatan pengerusi PN, selain beberapa pilihan raya yang bakal berlangsung termasuk di Melaka dan Johor, menjadikan kedudukan gabungan itu semakin goyah.

“Saya fikir PN memang terlalu lemah sebagai satu gabungan untuk bersaing dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH). Jika Kerajaan Perpaduan bergerak sebagai satu pasukan, keupayaan PN untuk menyaingi mereka akan menjadi semakin lemah.
“Kita tidak tahu siapa yang akan memimpin gabungan ini, sedangkan kepimpinan amat penting kerana ia menentukan hala tuju PN. Tahap ketidaktentuan ketika ini sangat tinggi.
“Berdasarkan pengalaman lalu, tidak mustahil apa yang kita saksikan hari ini permulaan perpecahan dalam PN, yang akan menyukarkan gabungan itu berfungsi sebagai satu pasukan bersatu dalam pilihan raya,” kata Azizuddin.
Beliau turut berpandangan, walaupun PN masih kekal sebagai sebuah gabungan, perbalahan dalaman yang berterusan akan memberi kesan negatif terhadap persepsi pengundi, khususnya mereka yang sebelum ini melihat PN sebagai wadah penyatuan orang Melayu.
Langkah PAS selepas pergolakan dalam PN?
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Azizuddin mempersoalkan keupayaan PAS untuk menerajui PN sekiranya Bersatu memilih untuk meninggalkan gabungan itu, sambil menyatakan parti berkenaan tidak pernah berjaya memimpin sebuah gabungan politik secara kukuh.
“Ya, PAS pernah mengetuai Gagasan Sejahtera menjelang Pilihan Raya Umum 2018, tetapi gabungan itu lemah dan gagal meraih sokongan,” katanya.
Pada pilihan raya tersebut, gabungan yang terdiri daripada PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia hanya memenangi 18 kerusi walaupun bertanding di 159 kawasan.
“Jika PAS mahu memainkan peranan utama, saya fikir mereka perlu mencari jalan untuk bekerjasama dengan parti atau gabungan lain bagi mengukuhkan kedudukan mereka,” katanya.
Dr Oh Ei Sun

Bagaimanapun, Penasihat Utama Pacific Research Centre of Malaysia Dr Oh Ei Sun berpandangan sebaliknya dengan menyifatkan pengambilalihan jawatan Pengerusi PN oleh PAS berpotensi mengukuhkan gabungan tersebut.
“Langkah ini akan mengukuhkan lagi penguasaan PN terhadap pengundi Melayu, berbanding terus ‘terganggu’ dengan pelbagai tindakan Bersatu seperti cubaan rampasan kuasa di Perlis.
“Jika Bersatu tidak berpuas hati, parti itu sentiasa boleh meninggalkan PN, dengan kerusi yang dimilikinya berpotensi mudah dimenangi PAS pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Ei Sun berkata, susulan peletakan jawatan Mohamed Azmin sebagai Pengerusi PN Selangor serta PAS memiliki jumlah kerusi negeri terbanyak dalam gabungan itu, parti berkenaan wajar menerajui usaha untuk menawan Selangor pada pilihan raya negeri akan datang.
Pada Pilihan Raya Negeri Selangor 2023, PN memenangi 22 daripada 56 kerusi, dengan 12 kerusi dimenangi Bersatu dan 10 oleh PAS.
Sementara itu, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, PAS memenangi 49 kerusi Parlimen manakala Bersatu memperoleh 25 kerusi, sekali gus mengukuhkan kedudukan PAS sebagai parti komponen paling dominan dalam PN di Parlimen.



