SHAH ALAM, 30 DIS: Naib Presiden Bersatu, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak.
"Mengambil maklum keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN serta menghormati bahawa kuasa pelantikan adalah prerogatif pengerusi, dengan ini saya memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai pengerusi PN Perak berkuat kuasa 1 Januari 2026.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan serta ahli-ahli parti komponen PN Perak atas kerjasama, sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan sepanjang saya menggalas amanah ini," katanya di Facebook.
Terdahulu, Muhyiddin mengesahkan meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Selain itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga melepaskan jawatan sebagai setiausaha agung PN dan pengerusi PN Selangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.


