SHAH ALAM, 20 OKT: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) membatalkan pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN) selepas mendapati penjelasan dikemukakan parti itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis terdahulu.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, ROS memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
ROS menjelaskan, PN sebelum ini diberi peluang mengemukakan penjelasan dan representasi menerusi notis bertarikh 22 September lalu yang dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2) akta sama.
Tambah ROS, pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu susulan notis itu.
“Bagaimanapun, selepas meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, Pendaftar Pertubuhan mendapati alasan diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
“Penjelasan itu juga tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran parti berkenaan.
“Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan telah membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, ROS menegaskan setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan masing-masing.
Jabatan itu turut menegaskan fungsi kawal selia dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara tegas, adil dan berlandaskan undang-undang bagi memastikan tadbir urus pertubuhan yang teratur, telus dan berintegriti.







